DAP mengumumkan akan menggunakan logo Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September ini.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata ia keputusan yang sukar oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, namun ia bagi memenuhi permintaan jawatankuasa DAP Sabah untuk bertanding dengan logo bersama.
“Menghormati kehendak Jawatankuasa DAP Sabah, ahli dan penyokong kami di Sabah, saya dengan ini mengumumkan semua calon DAP Sabah akan bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang di bawah bendera Warisan,” katanya menerusi kenyataan.
Guan Eng berkata PRN ini akan menjadi penentu kepada masa depan Sabah dan mempunyai implikasi luas.
“Kemenangan (Warisan) akan menjadi penolakan kepada politik pengkhianatan, di mana mandat pengundi pada pilihan raya 2018 dikhianati, dibeli dan dibatalkan.
“Politik pengkhianatan telah membawa kepada pembentukan kerajaan Persekutuan yang tidak dipilih dan tanpa malu-malu membenarkan polisi pelampau kaum dan agama,” katanya.
Beliau berkata kemenangan Warisan di Sabah akan membawa harapan kepada Malaysia bahawa kerajaan yang terpilih akan “dapat menjadi pelindung rakyat, pembela demokrasi dan keadilan, mengawal rasuah dan penjaga masa depan anak-anak kita”.
“Kami yakin semangat dan nilai DAP akan terus menjadi prinsip panduan semua calon ketika kami berganding bahu dengan sekutu kami dalam Warisan Plus untuk memenangi pilihan raya ini bersama-sama,” katanya.

