DI sebalik keputusan seri dengan Chelsea yang beraksi dengan 10 pemain sepanjang babak kedua, Jurgen Klopp tetap positif dengan menyatakan pasukan Liverpool kendaliannya seri dengan ‘pasukan terbaik Eropah’.
Dalam aksi penuh drama di Anfield malam tadi, Kai Havertz memberi Chelsea pendahuluan sebelum Reece James dibuang padang kerana menyentuh bola di atas garisan gol.
Mohamad Salah kemudian menyempurnakan sepakan penalti pada saat-saat akhir babak pertama.
Liverpool menguasai keseluruhan babak kedua untuk mencari gol kemenangan namun berdepan kesukaran menentang 10 pemain Chelsea yang bertahan dengan ampuh untuk meraih satu mata.
Daily Mail melaporkan Klopp menerima keputusan itu secara positif dan menyatakan Chelsea layak mendapat satu mata.
Dia memberitahu Sky Sports selepas perlawanan: ‘Saya melihat permainan yang sangat menarik, pantas, sukar untuk kedua-dua pasukan. Kami ketinggalan, tetapi gol yang kami jaringkan, penalti yang kami dapat sangat wajar.
“Separuh masa kedua, kami bermain dengan baik, semua orang bercakap mengenai 10 pemain – ada kelebihan tetapi tidak dari segi struktur pertahanan.
“Mereka mempunyai lapan pemain [belakang] dengan Lukaku di atas. Kami tidak dapat menyempurnakan peluang, percubaan kami adalah menerusi jarak jauh tetapi ia adalah permainan yang baik dengan intensiti tinggi.
“Chelsea layak seri dan kami mendapat satu mata juga,” katanya.
Ketika ditanya apakah Liverpool akan bernasib lebih baik jika melawan Chelsea dengan 11 pemain, Klopp menyatakan mereka menentang ‘pasukan terbaik di Eropah’ tahun lalu.
Dia berkata: “Saya tidak tahu apa hasilnya 11 lawan 11 tetapi tak mengapa kerana ini masih di awal musim.
“Kami seri menentang pasukan terbaik tahun lalu di Eropah. Tidak mengapa. Tujuh mata dari tiga perlawanan – kita teruskan,” katanya. – Malaysiapost

