Tumpu lawan Covid-19, tunggu PRU15 tentukan PM10 – Kit Siang

0
1

VETERAN DAP Lim Kit Siang berpendapat semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama, wilayah dan politik ketika ini perlu menumpukan misi memenangi perang terhadap Covid-19 dan mengembalikan Malaysia ke keadaan normal semula.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata jika kesepakatan dicapai antara kerajaan dan pembangkang untuk mengetepikan politik dan menumpukan perhatian memerangi Covid-19, ia akan menjadi sesuatu yang tidak pernah terjadi sebelum ini.

Menurutnya, ia juga menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mampu bersatu demi kepentingan negara.

“Saya tidak menyembunyikan pendirian saya bahawa Perdana Menteri terbaik untuk Malaysia hari ini adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukan orang lain sama ada Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Datuk Ismail Sabri Yaakob.

“Namun saya juga tidak bersetuju dengan mereka yang percaya bahawa masih ada kemungkinan bagi Anwar untuk menjadi Perdana Menteri melalui permainan nombor.

“Saya tidak percaya bahawa ia (sokongan majoriti) adalah sesuatu yang praktikal dalam politik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kit Siang berkata, demi negara yang menghadapi sedang menghadapi ancaman pandemik Covid-19, semua pihak perlu mengabaikan kepentingan peribadi dan politik.

“Saya menyarankan agar kita mengabaikan semua pertimbangan peribadi dan politik serta fokus secara tunggal untuk mencapai persefahaman yang diasaskan di parlimen dan pembaharuan institusi bagi menangani Covid-19.

“Marilah kita menangguhkannya hingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa 12 hingga 18 bulan lagi, untuk menentukan gabungan mana harus memerintah Malaysia dan siapa Perdana Menteri ke-10,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here