Negeri Sembilan semakin hampiri imuniti kelompok

0
2

NEGERI Sembilan semakin menghampiri imuniti kelompok apabila mencatatkan 622,081 orang atau 76.4 peratus daripada populasi dewasa sudah lengkap dua dos vaksinasi.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata jumlah kes harian di negeri berkenaan juga antara terendah di negara ketika ini.

“Sehingga 27 Ogos, seramai 76.4 peratus atau 622,081 orang atas 18 tahun telah lengkap divaksinasi. Ini bermakna Negeri Sembilan semakin menghampiri imuniti kelompok.

“Keberkesanan program vaksinasi ini dapat dilihat melalui jumlah harian kes baru positif Covid-19 yang dimuatnaik oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Contohnya terbaru hanya 345 kes dikesan, antara kadar terendah di Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada penduduk Negeri Sembilan yang sentiasa berusaha mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Harapan saya, semoga kita sentiasa mematuhi SOP agar kes tidak kembali menular dan seterusnya menyukarkan Negeri Sembilan untuk beralih ke fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.

Dalam satu lagi hantaran, beliau berkongsi perkembangan semasa susulan Negeri Sembilan beralih ke Fasa Dua PPN sejak Khamis lalu.

“Apabila beralih ke Fasa 2 PPN, penduduk Negeri Sembilan kini boleh mengunjungi pantai-pantai peranginan dan hasil tinjauan mendapati kedatangan pengunjung adalah di luar jangkaan.

“Bagi memastikan keselamatan pengunjung serta mengelak penularan Covid-19, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) mengambil inisiatif melaksanakan pemantauan SOP di pantai-pantai peranginan Port Dickson,” katanya.

Menurutnya, antara lokasi yang diberi tumpuan adalah Pantai Teluk Kemang, Pantai Saujana, Pantai Tanjung Biru dan Pantai Bagan Pinang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here