Saya banyak belajar dari Dr Zulkifli – Marzuk

0
2

TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary mengakui banyak belajar daripada bekas bosnya, Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Beliau yang dilantik semula ke jawatan itu semalam berkata bekerja bersama Zulkifli yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) lebih setahun dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), adalah pengalaman berharga.

“Banyak yang saya belajar daripada YB Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri. Sifat rendah diri beliau menjadikan rakyat tidak kekok untuk datang meminta bantuan.

“Bekerja bersama-sama untuk tempoh setahun lebih ini adalah suatu pengalaman yang berharga untuk saya.

“Terima kasih kepada YB Senator atas khidmat bakti sepanjang menjawat jawatan tersebut. Semoga ukhwah yang terbina ini akan terus terpelihara walaupun sudah tidak lagi bekerja sekali,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa turut mengucapkan tahniah kepada Senator Idris Ahmad atas pelantikan sebagai Menteri Agama yang baru.

“Pengalaman beliau bergelumang dalam selok-belok dunia politik khususnya sebagai Naib Presiden PAS pastinya suatu kelebihan dalam mengemudi agensi-agensi agama di bawah Persekutuan.

“Semoga lebih banyak yang dapat dicapai bersama untuk sesi kali ini. Doakan agar kami semua dapat melakukan yang terbaik, insya-Allah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here