KERAJAAN Persekutuan perlu memperjelas dan memperincikan lebih RM500 bilion wang yang dilulus dan dibelanjakan sepanjang darurat dilaksanakan sehingga ke hari ini.
Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ia penting bagi memastikan wang tersebut digunakan dengan betul untuk pemulihan sektor yang terkesan.
“Kita mahu pastikan adakah pendekatan dan juga wang yang telah digunakan itu betul-betul untuk pelaksanaan dan bantuan kepada semua sektor yang terkesan terutama sekali rakyat dan pemulihan ekonomi secara bersasar dan menyeluruh,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Sebelum ini 450 program dilaporkan telah dilaksanakan dalam tempoh 15 bulan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terdahulu melalui lapan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion beserta pelbagai inisiatif Belanjawan 2021.
Sementara itu, Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna meminta kerajaan Sabah segera melaksanakan segala bantuan, baik dari segi kewangan, makanan dan kesihatan kepada semua rakyat negeri itu yang semakin terjejas akibat Covid-19.
“Jangan berlengah dan perlu juga fikirkan cara dan kaedah lain yang lebih berkesan sekiranya pendekatan sedia ada tidak efektif,” katanya. – Malaysiapost

