PASUKAN Polis Marin (PPM) Semporna menggagalkan aktiviti penyeludupan minyak petrol di perairan Kampung Terusan, Pulau Bum Bum, semalam.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata pihaknya yang menjalankan rondaan mengesan dua bot yang mencurigakan di kawasan perairan pulau berkenaan.
Menurutnya, tiga lelaki kelihatan memunggah barang ke dalam dua bot dan sebaik menyedari kehadiran polis, kesemua suspek melarikan diri ke kawasan bakau dan meninggalkan bot tersebut.
“Minyak petrol berkenaan dipercayai hendak diseludup ke negara jiran dan hasil pemeriksaan menemui beberapa tong berisi petrol dalam kedua-dua bot berkenaan.
“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM32,255 dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan yang dikongsi di Facebook Pasukan Polis Marin.
Beliau berkata, kes kini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197,” katanya. – Malaysiapost

