BEKAS Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid meninggal dunia pada usia 82 tahun jam 1.40 pagi tadi.
Berita kematian Allahyarham disahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali menerusi Facebooknya pagi ini.
“Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham YABhg Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid di atas pemergian Allahyarham yang telah meninggal dunia pada 28 Ogos 2021, jam 1.40 pagi,” tulisnya.
Mohd Zuki turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar buat negara melalui jasa dan bakti yang telah dicurahkan selama ini.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmatNya dan ditempatkan bersama para solihin,” katanya.
Allahyarham merupakan mantan Ketua Setiausaha Negara dari tahun 1990 hingga 1996 dan tokoh pentadbir perkhidmatan awam yang amat disegani serta dihormati sewaktu dalam perkhidmatan.
Selepas bersara, beliau pernah dilantik sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Sebelum ini media melaporkan Allahyarham menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Cheras kerana komplikasi akibat Covid-19. – Malaysiapost

