Pesakit Covid-19 jatuh tingkat 5 hospital, jalani 2 pembedahan

0
2

HOSPITAL Sungai Buloh mempertingkatkan langkah keselamatan di hospital berkenaan bagi mengelak kejadian seorang pesakit Covid-19 terjatuh dari tingkat lima hospital berkenaan pada 23 Ogos lalu, berulang.

Pengarahnya, Dr Kuldip Kaur Prem Singh, berkata sebelum ini semua tingkat di hospital itu terpaksa dibuka bagi tujuan pengudaraan, namun selepas kejadian ia telah dihadkan luas bukaan dengan menukar engsel kekal.

“Selain daripada itu, petugas-petugas barisan hadapan di Hospital Sungai Buloh juga dikehendaki mengenalpasti pesakit berisiko untuk diberikan perhatian dan rawatan khusus oleh pihak wad,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, menjelaskan mengenai kejadian yang berlaku, beliau berkata pesakit lelaki yang terjatuh itu ditempatkan di Wad Aras 5 selepas disahkan positif Covid-19.

Menurutnya, bagaimanapun lelaki terbabit bertindak agresif selepas pihak hospital membuat penilaian tidak membenarkannya pulang ke rumah kerana berada dalam kategori 3A dan hari kedua di dalam wad serta masih memerlukan rawatan dan pemerhatian lanjut.

“Pesakit lelaki berkenaan turut bertindak mencederakan seorang jururawat serta cuba mencederakan pesakit lain yang menerima rawatan di dalam wad atas sama.

“Ketika pesakit itu duduk di bingkai tingkat hospital, beberapa petugas hospital termasuk pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan sudah berusaha menariknya ke dalam namun pesakit itu jatuh dan mengalami kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, sejurus selepas insiden berkenaan berlaku, pihaknya bertindak mengaktifkan ‘Code Blue’ dan pasukan petugas perubatan daripada Jabatan Kecemasan segera memberikan rawatan kecemasan dan membawa pesakit untuk rawatan lanjut.

“Sehingga kini, pesakit lelaki berkenaan sudah menjalani dua pembedahan dan masih dirawat di Uni Rawatan Rapi (ICU) dengan bantuan pernafasan.

“Pihak hospital telah membuat laporan polis dan insiden ini masih dalam siasatan pihak polis,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here