
HANYA lima lokaliti baharu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang akan dilaksanakan bermula Ahad ini selepas didapati berlaku trend penularan jangkitan Covid-19 di kawasan berkenaan.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad, berkata lokaliti berkenaan adalah membabitkan dua negeri iaitu Sabah dan Kelantan.
Menurutnya, di Sabah lokaliti yang terbabit adalah membabitkan Kampung Debut, Ranau dan Kampung Tindai Kolopis, Penamapang.
“Kelantan kawasan yang dikenakan PKPD adalah di tiga lokaliti di Pasir Mas iaitu di Mukim Pasir Mas membabitkan Kampung Bayu Lalang dan Kampung Banggol Kemian (sebahagian kampung sahaja).
“Mukim Gual Periok iaitu di Kampung Repek juga membabitkan sebahagian kampung sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kesemua lokasi berkenaan dikenakan PKPD bermula 29 Ogos hingga 11 September ini dan prosedur operasi standard (SOP) adalah sama seperti diumumkan sebelum ini.
Sementara itu, beliau berkata, dua lokaliti di Sabah yang dijadualkan tamat PKPD esok, dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 11 September ini.
“Kawasan berkenaan adalah Kampung Brunei, Membakut, Beaufort dan Kampung Manggaris 2, Kota Marudu,” katanya. – Malaysiapost
