Kabinet Ismail tidak mampu suntik semangat baharu – Anwar

0
2

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan jemaah menteri Kabinet yang baharu dibentuk hari ini tidak mampu menyuntik kesegaran kepada negara. 

Beliau berkata, barisan Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seperti kitar semula dan tidak mampu memulihkan keyakinan para pelabur terhadap Malaysia. 

“Saya kira agak nyata, ia tidak mampu menyuntik semangat baru dan keyakinan pelabur dalam negara atau luar negara,” katanya dalam siaran secara langsung di Facebook, hari ini. 

Mengulas lanjut, Presiden PKR itu berkata, harapan rakyat yang sedang bergelut meneruskan kelangsungan hidup sepanjang pandemik Covid-19 untuk melihat pembaharuan dalam kerajaan tidak kesampaian. 

“Reaksi spontan di kalangan rakyat agak menghampakan, mengecewakan kerana ia hanya kitaran semula seperti diuar-uarkan di media sosial, kabinet lama kabinat baharu, almari tetapi tidak ada perubahan. 

“Langkah yang diambil hanya kitar semula, menteri-menteri yang tidak menunjukkan keupayaan menangani masalah ini secara berkesan. Oleh demikian sambutan itu sangat menghampakan. Apa yang mengharapkan satu perubahan tetapi ini tidak berlaku,” katanya. 

Bagaimanapun, Anwar menegaskan, Pakatan Harapan (PH) selaku pembangkang akan terus memainkan peranan semak dan imbang untuk memantau prestasi kerajaan terutamanya dalam tempoh 100 hari kerajaan baharu ini dibentuk. 

“Perdana Menteri memberikan tempoh 100 hari untuk menteri-menteri menunjukkan prestasi. Satu setengah tahun yang lalu tidak ada kemajuan yang dibanggakan. 

“Jadi kami sebagai pembangkang akan tetap secara lantang memantau, menyuarakan dan membantah sekiranya tidak ada program pelaksanaan yang lebih mantap dan berkesan untuk menangani masalah Covid-19 dan membawa perubahan terhadap kehidupan rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here