Barisan Kabinet berorientasikan hasil – Ismail Sabri

0
2

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan barisan Kabinet baharu hari ini yang berorientasikan hasil dan lebih terbuka dengan menyantuni aspirasi Keluarga Malaysia melalui penyampaian perkhidmatan serta maklumat lebih efisien.

Ismail Sabri memaklumkan, barisan Kabinet itu merupakan pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat dan perlu bertindak pantas serta bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada ancaman pandemik Covid-19, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik.

Beliau berkata, pembentukan Kabinetnya adalah satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa, demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan Keluarga Malaysia lebih daripada segala-galanya.

“Barisan kabinet ini dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan, dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur.

“Bagi mendepani cabaran semasa, Kabinet ini perlu berorientasikan hasil yang berlandaskan kepada tiga prinsip iaitu peka dengan keperluan semasa; bertanggungjawab dan amanah; mengembalikan semula keyakinan rakyat.

“Sesungguhnya, barisan Kabinet ini juga mengambil pendekatan baharu yang bersifat lebih terbuka, dengan menyantuni aspirasi Keluarga Malaysia melalui penyampaian perkhidmatan dan maklumat yang lebih efisien,” katanya dalam siaran langsung Pengumuman Kabinet, hari ini.

Ismail Sabri berkata, penularan Covid-19 di peringkat global dan dalam negara turut memberi kesan langsung kepada pertumbuhan dan permintaan ekonomi tempatan yang perlu dipulihkan segera.

“Sehubungan itu, barisan Kabinet dan kementerian perlu dipastikan berupaya menggalas tanggungjawab ini dengan komited dan lebih proaktif.

“Saya berharap pelantikan Kabinet ini akan memberi keyakinan baharu untuk negara bangkit dan bersatu dalam melawan Covid-19 serta membebaskan ‘Keluarga Malaysia’ daripada kesengsaraan hidup akibat pandemik ini,” katanya.

Beliau turut berjanji untuk memastikan Kabinet yang dibentuk menekankan budaya kerja berprestasi tinggi.

“Justeru, setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan. Untuk itu, setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama,” katanya.

Menurutnya, beliau juga akan memastikan barisan Kabinet komited menjayakan agenda negara, melalui jalinan kerjasama rentas parti bagi memacu pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

“Saya ucapkan tahniah kepada semua anggota Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri. Pesan saya hanya satu – jalankan tugas yang telah diberikan dengan amanah, demi rakyat dan negara.

“Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada barisan kabinet untuk menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan beramanah.

“Ayuh membulat tekad, bekerja bersama rakyat!” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here