PM umum barisan Kabinet hari ini

0
2
ismail sabri

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengumumkan barisan Kabinet pimpinan beliau, hari ini.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, pengumuman rasmi akan dibuat pada jam 11 pagi dan disiarkan secara langsung menerusi saluran 1 Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Sementara, majlis angkat sumpah menteri dan timbalan menteri pula dijadualkan berlangsung pada Isnin depan, jam 2.30 petang di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Terdahulu, Istana Negara menerusi kenyataan semalam berkata, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima persembahan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu daripada Ismail Sabri susulan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-9 pada 21 Ogos lalu.

Menurut kenyataan itu, sesi menghadap semalam adalah yang kali kedua bagi Ismail Sabri selaku Perdana Menteri.

“Sesi menghadap yang pertama telah berlangsung selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia beliau sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada 21 Ogos 2021 lalu,” kata kenyataan itu.

Isnin lalu, Ismail Sabri dilaporkan mengesahkan bahawa senarai jemaah menteri Kabinet akan diumumkan minggu ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, senarai berkenaan terlebih dahulu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum diumumkan.

Ahli Parlimen Bera itu dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9 selepas penyandangnya Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan kerana hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here