41 guru di Melaka enggan divaksin

0
3
vaksin uitm

JABATAN Pendidikan Melaka mengenal pasti 41 daripada 13,800 guru di negeri ini yang enggan menerima vaksin Covid-19.

Exco Pendidikan Modal Insan, Sains dan Inovasi Melaka, Datuk Noor Effandi Ahmad, berkata pihaknya akan membantu memberikan penerangan bagi meyakinkan 0.2 peratus guru yang enggan divaksin.

Noor Effandi berkata, beliau tidak mahu terus melabelkan golongan itu sebagai anti vaksin dan yakin mereka akan berubah fikiran untuk anak didik sekali gus memastikan sesi pengajaran dapat berjalan lancar apabila sekolah dibuka.

“Mungkin mereka tidak faham atau belum terbuka hati lagi. InsyaAllah saya yakin mereka terima jika diberi penerangan sebaiknya,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini seramai 94 peratus guru di Melaka telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan kira-kira 479 sedang menunggu giliran dan janji temu untuk menerima vaksin.

Katanya, guru di negeri ini harus memainkan peranan dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kerana sekolah dijangka dibuka secara berperingkat bermula Oktober depan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here