Exco Kesihatan Kedah positif Covid-19

0
2

EXCO Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman disahkan positif Covid-19 selepas pulang daripada menjalankan misi bantuan dan kemanusiaan di kawasan terjejas fenomena aliran puing di Gunung Jerai, Yan baru-baru ini.

Mohd Hayati berkata, beliau hadir ke Yan Sabtu lalu bagi menjalankan misi bantuan selain membantu membersihkan rumah penduduk terjejas.

Beliau berkata, ketika itu segala prosedur operasi standard (SOP) telah dipatuhi termasuk makan secara berasingan dan mengamalkan pemakaian pelitup muka sepanjang masa.

“Tetapi pada hari Ahad saya mula batuk diikuti demam pada Isnin. Apabila diperiksa, saya disahkan positif Covid-19 bersama isteri.

“Namun Alhamdulillah kami sudah melengkapkan dua dos vaksin dan sekadar bergejala ringan iaitu hanya berada di kategori dua Covid-19. Tak pastilah sama ada saya dijangkiti di Yan atau di tempat-tempat lain sebelum itu,” katanya seperti dilapor Kosmo.

Mengulas lanjut katanya, keadaannya kini semakin baik dengan tahap oksigen antara 96 dan 97 peratus.

“Jujurnya, saya tak pasti di mana saya dijangkiti. Semasa pergi ke Yan tempoh hari, memang ada orang yang datang dari luar bersama saya tetapi mereka juga nampak sihat dan ceria tanpa ada sebarang tanda penyakit.

“Disebabkan itu, saya amat mengharapkan semua pihak terutamanya mereka yang menjalankan misi bantuan di kawasan terjejas supaya tidak sekali-kali mengabaikan SOP,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here