KERTAS siasatan berhubung isu Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali melanggar arahan kuarantin wajib, dijangka diserah kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut, esok.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang memaklumkan saksi terakhir kes itu sudah direkod keterangan semalam.
“Mungkin esok kita serahkan kertas siasatan itu kepada AGC. Mereka akan meneliti bukti dan kenyataan sedia ada dalam fail siasatan.
“Lebih 10 saksi sudah dirakam keterangan. Saksi terakhir beri kenyataan semalam,” katanya seperti dilapor BH.
Sebelum ini, Khairuddin mengadakan lawatan tidak rasmi ke Turki pada 3 hingga 7 Julai tetapi menghadiri persidangan Dewan Rakyat pada 13 Julai lalu.
Bagaimanapun, keputusan ujian Covid-19 yang diambil ke atas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu dilaporkan negatif.
Beliau juga telah dikompaun RM1,000 oleh Kementerian Kesihatan. – Malaysiapost

