Nurul Huda Abhar
KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (KKMM) disaran mencari jalan memperkasa capaian internet, khususnya kepada rakyat di luar bandar.
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, kerajaan sepatutnya mengambil serius isu ditunjukkan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin menerusi video di YouTube.
“Tiada keperluan untuk mereka menyiasat hingga bertanyakan pihak universiti akan kesahihan tarikh peperiksaan atas talian.
“Realitinya, kita sudah merdeka 63 tahun. Namun, masih ada kawasan di negara kita tidak maju seiring dengan bandar-bandar lain di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Shahir, kerajaan perlu lebih memfokuskan kepada capaian internet luar bandar agar tiada lagi pelajar terpaksa panjat pokok atau bukit untuk mendapatkan capaian internet lebih baik.
Katanya, DPIM memberikan sepenuh sokongan kepada Veveonah supaya terus menyuarakan kekurangan yang berlaku dalam kalangan anak muda, terutama di luar bandar.
Selain itu, beliau menyelar kenyataan beberapa pemimpin seolah-olah membuli anak muda yang berusaha bersungguh-sungguh sehingga terpaksa memanjat pokok dan bukit semata-mata untuk menjalani peperiksaan dalam talian.
“Kenyataan seperti itu menunjukkan “cyber bully” atau membuli di alam maya, tidak hanya berlaku sesama anak muda, malah melibatkan generasi tua termasuk pemimpin negara,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, DPIM menggesa kerajaan untuk menyemak kembali cadangan mengenakan caj perkhidmatan 0.02 peratus atau 20 sen sebagai caj pembelian online.
Shahir berkata, walaupun hanya dengan kadar 20 sen setiap transaksi, pembeli yang menggunakan perkhidmatan atas talian sudah pun dikenakan cukai perkhidmatan.
“Jangan bebani rakyat dengan perkara-perkara tidak masuk akal seperti ini,” ujarnya. – Malaysiapost

