PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Ismail dilaporkan tiba di Istana Abdulaziz bagi mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah hari ini.
Kenderaan rasmi yang membawa Ismail Sabri dilihat memasuki pintu masuk utama Istana Abdulaziz tepat jam 10.53 pagi tadi.
Turut menyertai pertemuan tersebut adalah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang tiba di Abdulaziz kira-kira jam 11.30 pagi.
Difahamkan, majlis menghadap Al-Sultan Abdullah ini adalah bagi menyampaikan senarai cadangan barisan kabinet baharu kerajaan Persekutuan selepas Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Sabtu lalu.
Lawatan Ismail Sabri itu juga mencuri tumpuan media kerana ini adalah lawatan sulung beliau ke Pahang.
Isnin lalu, Ismail Sabri dilaporkan mengesahkan bahawa senarai jemaah menteri Kabinet akan diumumkan minggu ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Beliau berkata, senarai berkenaan terlebih dahulu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum diumumkan. – Malaysiapost

