Isteri pelakon kerdil Badrol Shah meninggal dunia

0
2

ISTERI pelakon kerdil Badrol Shah, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada jam 8.15 pagi, hari ini.

Badrol atau lebih dikenali Bad, 39, berkongsi berita kematian isterinya Farah Shila Mazlan menerusi hantaran di Instagram @badrolshahmanan.

Bad yang popular menerusi filem Busut Bonang berkata, dia serta ahli keluarganya sememangnya sudah bersedai dengan segala kemungkinan.

“Isteri saya baru menghembuskan nafas terakhir di HKL selepas 45 hari bertarung Covid-19. Kami semua sudah reda dan bersedia dengan segala kemungkinan,” katanya.

Bad berkata, dia masih berada di HKL untuk proses pengecaman jenazah dan belum pasti masa dan lokasi jenazah isterinya akan dikebumikan.

Sebelum ini, berita kematian Farah Shila mencetuskan kekecohan apabila Bad menerusi media sosialnya memaklumkan isterinya disahkan meninggal dunia pada 10 Ogos.

Bagaimanapun, pada hari sama dia tampil membetulkan keadaan apabila memberitahu berlaku salah faham dalam perkara ini.

Bad berkata, dia dimaklumkan bahawa isterinya sudah meninggal dunia sebelum berkongsi berita itu di media sosial kerana itu cara untuk memaklumkan kepada kenalan-kenalannya.

“Jadi, andai kata ada sesiapa yang mengenalinya atau ada hutang piutang yang belum dilunaskan, mereka akan dapat tahu berita ini.

“Tapi, apabila malam semalam seorang doktor menghubungi dan maklumkan isteri saya sedang nazak, saya sendiri jadi keliru dan sudah berlaku salah faham,” katanya.

Allahyarham Farah yang juga guru agama di Sekolah Rendah Agama Lembah Keramat meninggal dunia selepas 45 hari bertarung dengan Covid-19.

Bad sekeluarga termasuk empat anak-anaknya sebelum ini disahkan positif Covid-19 dan sudah selesai menjalani kuarantin di rumah pada 1 Ogos lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here