PEMUDA Umno menyifatkan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan pemimpin pembangkang hari ini sebagai suatu permulaan baik untuk fokus memerangi Covid-19.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata usaha itu mempu mensejahterakan rakyat dalam sebuah Keluarga Malaysia yang dicetuskan Perdana Menteri.
“Satu permulaan yang baik buat YAB PM untuk mengajak semua pemimpin pembangkang untuk bersama bagi memfokuskan agenda memerangi Covid dan mensejahterakan rakyat dalam sebuah Keluarga Malaysia.
“Pemimpin-pemimpin pembangkang juga mengenengahkan isu-isu rakyat termasuk moratorium yang menjadi sebahagian #TuntutanRAKYAT yang Pemuda perjuangkan.
“Yang penting pelaksanaannya perlu disegerakan ketika rakyat sedang tertekan dan amat susah ketika ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya sebentar tadi.
Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Perdana Menteri menerusi kenyataan memaklumkan pertemuan itu tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan terbaik bagi menangani krisis Covid-19.
Pertemuan selama lebih sejam itu turut memberi tumpuan kepada usaha menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak serta membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan. – Malaysiapost

