Paip pecah: Terengganu salur bantuan segera RM2.79 juta

0
2

KERAJAAN Terengganu akan menyalurkan bantuan segera sebanyak RM2.79 juta bagi membantu masalah bekalan air dihadapi penduduk Kuala Terengganu dan Kuala Nerus susulan paip pecah di dasar sungai Terengganu, kelmarin.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagi penyelesaian sementara bekalan air dipulihkan, kerajaan negeri telah berbincang dengan Syarikat Air Terengganu (SATU) serta Terengganu Incorporated (TI) dan bersetuju untuk menyalurkan segera bantuan berkenaan.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM 1.04 juta bantuan tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) akan disalurkan kepada semua 104 Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang terlibat.

“Ia bertujuan membantu menyalurkan bekalan air harian kepada semua 29,151 akaun pengguna.

“Bantuan ini akan disampaikan menerusi Pusat Khidmat DUN dan Penyelaras,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak RM500,000 juga daripada CSR SATU akan disalurkan untuk pengurusan, logistik dan bekalan air di semua kawasan terjejas.

“Kerajaan negeri juga akan membekalkan air minuman dalam kotak berjumlah RM 1.25 juta kepada semua rumah terlibat serta memastikan bekalan air bersih akan dihantar dengan kekerapan yang sesuai bagi memastikan mereka dapat menikmati bekalan air bersih sehingga kejadian ini dapat diselesaikan,” katanya.

Isnin lalu, SATU memaklumkan, pasukan teknikal mengesan paip bersaiz 1,200 milimeter (mm) pecah di tempat berlainan daripada yang sudah dibaiki sehari sebelumnya.

Paip di dasar sungai itu membekalkan air ke tangki utama Berangan dari loji Kepong untuk kegunaan penduduk di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here