AHLI Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menzahirkan kebimbangan dengan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di Pulau Pinang yang didakwa paling tinggi di Malaysia mengikut per kapita penduduk.
Sehubungan itu, Setiausaha Agung DAP itu menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan EXCO Kesihatan negeri segera menyediakan lebih banyak vaksin dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri itu.
“Kes jangkitan Covid-19 per kapita (penduduk) bagi Pulau Pinang kini adalah yang tertinggi di Malaysia dan kian meningkat tanpa kawalan.
“Kementerian Kesihatan dan EXCO Kesihatan Negeri perlu melakukan tugas mereka untuk menyediakan lebih banyak vaksin dan PPV untuk mengelakkan Pulau Pinang menjadi pusat jangkitan baru. Selamatkan nyawa dan mata pencarian!,” tulisnya dalam hantaran ringkas di Facebook.
Beliau berkata, sememangnya diakui vaksinasi adalah perlindungan terbaik pada masa ini dan berharap ia dapat dipercepatkan.
Sebelum ini, media melaporkan, peningkatan kes positif Covid-19 di Pulau Pinang adalah disebabkan kes jangkitan dalam kalangan pekerja kilang, iaitu kira-kira 70 peratus daripada jumlah pesakit yang dijangkiti wabak tersebut.
EXCO Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang Dr Norlela Ariffin berkat,a perkara itu diburukkan lagi dengan keadaan pekerja kilang yang dijangkiti Covid-19 dan tinggal di asrama atau rumah sewa bersama rakan-rakan mereka dalam jumlah yang ramai sehingga menjangkiti yang lain.
“Macam ada satu kes (membabitkan pekerja kilang) baru-baru ini, pada mulanya hanya dua orang sahaja positif Covid-19 dan selepas tiga hari pemeriksaan mendapati 47 orang yang tinggal di asrama sama turut didapati positif,” katanya. – Malaysiapost

