PAKATAN Harapan (PH) akan mempertimbangkan jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk pembangkang menyertai Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.
Majlis Presiden PH menerusi kenyataan berkata ia demi memastikan tawaran itu dibuat secara ikhlas untuk menangani pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.
“(Tawaran itu) bukan sekadar tangkap muat atau menjadi ‘rubber stamp’ kepada pandangan kerajaan semata-mata,” kata kenyataan itu hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri Ahad lalu, menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang menganggotai MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.
Perdana Menteri berkata, kemelut politik melanda negara menimbulkan keresahan rakyat, justeru kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan, termasuk mewujudkan kerjasama rentas parti.
Ia susulan titah Yang di-Pertuan Agong, dalam perjumpaan bersama ketua parti politik baru-baru ini, supaya semua pihak melupakan perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
Sementara itu Majlis Presiden PH berkata Anwar selaku Ketua Pembangkang akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin utama kesemua parti pembangkang dalam masa terdekat, termasuk menjemput mereka menyertai atau bekerjasama dengan PH.
Ini selaras ketetapan Pemukiman Kepimpinan PH di Port Dickson pada April lalu yang menyatakan keterbukaan berunding dan bekerjasama serta menggembleng seluruh tenaga di bawah konsep ‘Khemah Besar’.
Menurut Majlis Presiden PH, kerjasama itu demi memantapkan blok pembangkang yang merangkumi 105 Ahli Parlimen.
“Pertemuan tersebut antara lain akan membincangkan isu-isu politik semasa serta persiapan bagi menghadapi sidang Parlimen yang bakal bermula 6 September.
“Dengan kemungkinan sidang khas diadakan lebih awal untuk membahaskan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri serta mengisikan kekosongan Timbalan Speaker Dewan Rakyat ekoran peletakan jawatan Datuk Seri Azlina Othman Said,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, fokus PH adalah ke arah menjadi pembangkang yang berkesan dengan mengutarakan kritikan, teguran, syor dan pandangan membina dan bertanggungjawab.
Selain itu, membentangkan cadangan-cadangan alternatif bersesuaian kepada dasar-dasar kerajaan terutama berkait usaha menangani Covid-19, menghidupkan semula ekonomi, serta menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat.
“PH akan mengutamakan reformasi institusi termasuk Parlimen, reformasi fiskal dan perundangan termasuk Undi 18 dan Akta Anti Lompat Parti.
“Penambahbaikan Pelan Pemulihan Negara serta menegaskan kebebasan sistem kehakiman yang tidak patut dikacau ganggu mana-mana pihak,” katanya. – Malaysiapost

