Anwar, pemimpin PH jumpa Ismail Sabri

0
2
Jalur gemilang dipasang di sekitar jalan menujuk ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya. Malaysiapost/Sharifudin Abdul Rahim

TIGA pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini. 

Pertemuan itu dijadual berlangsung jam 2 petang di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. 

Dua lagi pemimpin PH yang turut menyertai pertemuan itu ialah Presiden Amanah, Mohamad Sabu serta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. 

Perkembangan itu disahkan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menerusi ciapan di Twitternya sebentar tadi. 

“Jam 2 petang ini akan berlangsung pertemuan antara DS Anwar Ibrahim, Tn Hj Mohamad Sabu, dan Lim Guan Eng bersama YAB DS Ismail Sabri Yaakob di Pejabat Perdana Menteri, atas jemputan Pejabat Perdana Menteri,” ciapnya. 

Difahamkan, pertemuan itu antara lain bagi membincangkan tawaran kerajaan baharu kepada kepimpinan pembangkang menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.  

Tawaran itu dikemukakan Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri Ahad lalu. 

Perdana Menteri dilaporkan berkata, kemelut politik melanda negara menimbulkan keresahan rakyat, justeru kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan, termasuk mewujudkan kerjasama rentas parti.  

Ia juga susulan titah Yang di-Pertuan Agong, dalam perjumpaan bersama ketua parti politik baru-baru ini, supaya semua pihak melupakan perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat. 

Terdahulu hari ini, Majlis Presiden PH menerusi kenyataan berkata pihaknya akan mempertimbangkan jemputan Perdana Menteri untuk menyertai MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19. 

Menurut Majlis Presiden PH, ia demi memastikan tawaran itu dibuat secara ikhlas untuk menangani pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi. 

“(Tawaran itu) bukan sekadar tangkap muat atau menjadi ‘rubber stamp’ kepada pandangan kerajaan semata-mata,” kata kenyataan itu hari ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here