Adun perlu pamer semangat politik matang, saling bekerjasama – Sultan Perak

0
2
sultan perak

SULTAN Nazrin Shah hari ini bertitah semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak perlu mempamer semangat politik matang beraras tinggi dan saling bekerjasama demi kepentingan negeri dan rakyat.

Titah Sultan Perak, ia sebagai timbal balik pemberian peruntukan saksama dalam Belanjawan 2021.

Baginda bertitah setiap Ahli Dewan perlu bersama-sama berusaha memupuk semangat perpaduan dan kewarganegaraan antara rakyat berbilang kaum yang menganut pelbagai agama, mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa.

“Menteri besar ketika membentangkan Belanjawan 2021 mengumumkan peruntukan saksama untuk semua 59 Adun, tanpa sebarang diskriminasi sama ada dari pembangkang atau parti pemerintah,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 Perak di Dewan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh.

Sultan Nazrin Shah dalam titahnya juga mengingatkan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah tempat yang membolehkan rintihan rakyat didengari melalui suara Ahli-Ahli Dewan yang dipilih dan mendapat mandat rakyat semasa pilihan raya.

Baginda bertitah dalam negara yang mengamalkan sistem Raja Beperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, DUN sebagai sebuah badan perundangan, berperanan penting untuk mengukuhkan amalan demokrasi selain mengimbangi peranan cabang eksekutif, terutama menyemak, membahaskan dan meluluskan perbelanjaan negeri.

Mengenai ancaman Covid-19, baginda bertitah pertembungan vaksin dan virus akan berterusan sehingga Allah SWT mengurniakan kebijaksanaan akal manusia berupaya mengatasi daya lawan dan daya tahan virus ini.

Menurut baginda, vaksinasi adalah inisiatif pencegahan selain imunisasi adalah perisai pertahanan untuk meningkatkan daya imuniti.

“Kerajaan Beta sedang mengusahakan inisiatif untuk mencapai kadar imunisasi kelompok dengan mempercepatkan program vaksinasi.

“Program pemberian vaksin juga dipertingkatkan dan ditambah baik melalui program jangkauan, menggerakkan pasukan khas ke lokasi pedalaman, mendekati dan menyantuni masyarakat di luar bandar dan masyarakat Orang Asli,” titah baginda. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here