Kerajaan boleh pertimbang calon pembangkang jadi timbalan speaker – Shahidan

0
1
shahidan kasim

AHLI Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kasim berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan calon daripada pembangkang untuk mengisi kekosongan jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Beliau berkata, hal itu selaras dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

“Kita akan lihat apa yang dicadangkan pembangkang.

“Ia (calon yang dicadangkan) akan dipertimbangkan sekiranya maklum balasnya sama seperti bagaimana maklum balas Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng terhadap tawaran untuk mengisi Majlis Pemulihan Negara,” katanya seperti dilaporkan The Star.

Shahidan berkata, besar kemungkinan jawatan timbalan speaker akan diputuskan oleh wakil rakyat apabila Dewan Rakyat bersidang pada 6 September nanti.

“Terpulang pada kabinet untuk memutuskan soal calon itu, pihak lain turut boleh mencadangkan calon bagi jawatan itu,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun mengesahkan notis telah dihantar kepada wakil rakyat untuk memilih calon mereka bagi jawatan timbalan speaker.

“Sekiranya hanya ada satu calon, tak perlu undian. Prosedurnya ringkas. Semua ahli parlimen boleh menamakan satu calon dengan memberikan notis, seeloknya notis 14 hari.

“Jika ada lebih dari satu (calon), akan ada undian menerusi ballot tetapi tiada bahas,” katanya.

Beliau berkata, pelantikan timbalan speaker baru akan menjadi agenda utama dalam persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Kelmarin, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, mengesahkan beliau meletakkan jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Azalina berkata, beliau membuat keputusan itu atas beberapa alasan, susulan pelantikan Perdana Menteri baharu iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan tuntutan rakyat yang kuat serta jelas bagi kerjasama pelbagai parti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here