TIADA sebarang perarakan dan perhimpunan dibenarkan sepanjang hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan, berkata hanya calon dan masing-masing seorang pencadang serta penyokong dibenarkan berada di pusat penamaan calon.
“Selaras Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuatkuasa, hanya calon, pencadang dan penyokong calon dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon.
“Penyokong parti politik yang diwakili calon tidak dibenarkan hadir ke pusat penamaan calon.
“Selain itu, aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong calon bertanding juga tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang hari penamaan calon,” katanya.
Jelasnya, semua calon dan parti politik yang mengambil bahagian dalam PRN itu perlu mematuhi undang-undang ditetapkan.
Sebanyak 64 pusat penamaan calon dijadualkan dibuka bermula jam 9 hingga 10 pagi membabitkan 73 bahagian pilihan raya di seluruh negeri.
Ikmalrudin berkata, bagi memudahkan proses penamaan calon, SPR meminta bakal calon untuk mengisi dan membuat semakan awal borang dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat SPR Sabah sebelum hari penamaan calon.
Katanya, bakal calon juga disaran membayar deposit lebih awal dan membawa resit pembayaran pada hari penamaan calon sebagai bukti bagi memastikan proses penamaan calon diselesaikan dengan lancar.
“Bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik, surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan ketika menyerahkan kertas penamaan calon,” katanya.
Sejurus selesai, semua calon dan parti yang diwakili boleh mula berkempen selama dua minggu sehingga jam 12 tengah malam 25 September ini.
Pengundian biasa dijadual pada 26 September, manakala pengundian awal yang membabitkan anggota pasukan keselamatan dijadualkan pada 22 September.-Malaysiapost

