Keli Boy buka mulut, dakwa masalah gaji 3 tahun

0
2

BUKAN masalah ketika Covid-19 tetapi tunggakan gaji yang berlarutan sejak tiga tahun, dakwa Mohamadou Sumareh.

Selepas hampir sebulan membisu, pemain berasal dari Gambia membuka mulut berkaitan isu bersama bekas majikan, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).

Pemain naturalisasi pertama negara itu berkata, keputusannya berdiam diri dan membiarkan PBNP ‘menyerang’ bukanlah disebabkan dia bersalah, namun tidak mahu lebih banyak perkara buruk atau negatif terbongkar.

Sumareh berkata, isu berkaitan tunggakan gaji bukanlah berlaku ketika pandemik Covid-19 melanda negara ini, namun hakikatnya berlarutan tiga tahun sekali gus mengambil keputusan meninggalkan pasukan Tok Gajah.

”Ramai mengatakan masalah berlaku sejak Covid-19, namun apa yang mahu saya katakan adalah kerana tunggakan gaji sejak tiga tahun lalu. Kenapa saya mahu terus bermain untuk pasukan yang melanggar perjanjian kontrak.

”Jika saya menipu, saya mahu seseorang daripada PBNP katakan begitu pada saya. Sekarang ini saya tidak boleh mendedahkan segalanya. Ada perkara boleh kita ceritakan, namun lebih baik saya berdiam diri walaupun mengetahui kini jadi cemuhan penyokong.

”Apa yang ingin diberitahu, saya tidak pernah melupakan pasukan yang membantu menaikkan diri ini, namun terjadinya situasi ini bukanlah kehendak saya,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Katanya, hajat PBNP yang mahu mengambil tindakan undang-undang seterusnya menyekat pemergiannya ke kelab Thailand, Police Tero FC diterima dengan hati terbuka.

Malah, dia bersedia bersemuka dengan PBNP jika perkara terbabit dibawa ke Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Sumareh turut menyatakan sudah menghantar surat kepada pengurusan untuk mendapat penjelasan berkaitan tunggakan gaji, namun sehingga kini PBNP pula mengambil sikap berdiam diri. – Malaysiapost