Sakit belakang Zahid dah lama, bukan dibuat-buat – peguam

0
2

PEGUAM Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menjelaskan sakit tulang belakang (slipped disc) dialami oleh Presiden Umno itu bukan dirancang atau sengaja dibuat-buat.

Sehubungan itu, Hamidi Mohd Noh menjelaskan anak guamnya masih berada di hospital dan tidak dapat hadir bagi mendengar keterangan saksi di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Ahmad Zahid sepatutnya hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi meneruskan perbicaraan tuduhan rasuah melibatkan Sistem Visa Luar Negara (VLN) yang dikaitkan dengan syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Hamidi berkata pihaknya telah bersedia untuk perbicaraan itu namun anak guamnya tidak dapat hadir kerana dimasukkan ke hospital untuk rawatan.

“Sakit belakang yang beliau alami ini sebenarnya sudah lama, pada tahun 2019 kita buat pernmohonan supaya beliau mendapatkan rawatan di luar negara, tetapi mahkamah tak benarkan.

“Slipped disc ini bukan baru dan bukan dibuat-buat, sudah lama. Sakit ini jadi balik selepas dia alami kemalangan itu (jatuh)

“Pada Ahad beliau masuk hospital untuk dapatkan rawatan. Semalam kita dah bersedia untuk jalan (perbicaraan), hari ini pun sama kalau mahakamah kata jalan, kita jalan,” katanya kepada media.

Bagaimanapun Hamidi berkata, dalam undang-undang kehadiran tertuduh itu perlu kerana keterangan perlu dirakam dengan kehadirannya.

Terdahulu perbicaraan itu ditangguhkan susulan permohonan dibuat peguam mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Ahmad Zahid berdepan pertuduhan menerima suapan S$13.56 juta sebagai dorongan bagi dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri melanjutkan kontrak sebuah syarikat sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Bagi tujuh pertuduhan lain, beliau didakwa mendapat untuk dirinya suatu benda berharga iaitu wang tunai S$1,150,000; RM3,000,000; 15,000 euro dan AS$15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di Country Heights, antara Jun 2015 dan Oktober 2017. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here