Hannah Yeoh cadang Azalina dilantik Menteri KDN

0
1

AHLI Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mempertimbangkan melantik Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Menteri Dalam Negeri.

Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, sudah sampai masanya jawatan itu diisi oleh seorang wanita.

“Saya sangat berharap, selepas saya lihat peletakan jawatan Azalina – biar saya beritahu mengapa. Semasa kami di Putrajaya, kita tahu Yeo Bee Yin (Ahli Parlimen Bakri), memegang peranan tiga orang lelaki.

“Saya rasa sekarang ini, memandangkan Azalina sudah bukan timbalan speaker, dia boleh menjadi calon utama (frontrunner) untuk dipilih menerajui kementerian penting,” katanya dalam temu bual bersama Astro Awani, yang turut dikongsinya di Twitter miliknya.

Hannah berkata, sering kali jawatan berkuasa dalam Kementerian Dalam Negeri diberikan kepada lelaki senior dalam mana-mana parti politik, tetapi ada banyak isu membabitkan kewarganegaraan, perkahwinan dan perceraian – semua ini di bawah Jabatan Pendaftaran Negara.

“Kanak-kanak tanpa warganegara juga – ini merupakan isu-isu penting yang mesti ditangani. Malangnya, kita belum lihat seorang menteri dalam negeri yang menangani isu-isu ini, jadi saya fikir adalah bagus untuk perdana menteri melantik Azalina sebagai menteri dalam negeri.

“Dan jika tak boleh, mungkin menteri undang-undang atau menteri wanita, lagi bagus (kalau dapat) ketiga-tiga sekali,” katanya.

Hannah berkata, rekod Azalina merupakan orang yang tepat untuk menggalas tanggungjawab berkenaan.

“Sebagai timbalan speaker, dia bersikap sangat (mengutamakan) perundingan, dan rekodnya menunjukkan yang dia turut melibatkan pembangkang.

“Dia melihat isu reformasi penjara, dan untuk jawatankuasa pilihan untuk wanita dia masukkan kami dalam perbincangan,” katanya.

Terdahulu, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang, mengesahkan beliau meletakkan jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Azalina berkata, beliau membuat keputusan itu atas beberapa alasan, susulan pelantikan Perdana Menteri baharu iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan tuntutan rakyat yang kuat serta jelas bagi kerjasama pelbagai parti.

“Saya meletakkan jawatan saya supaya kerajaan dan pembangkang mempunyai lebih ruang untuk menetapkan semula Dewan Rakyat supaya ia benar-benar dapat berfungsi sebagai forum bagi persaingan dan kerjasama profesional antara parti mengenai dasar dan tadbir urus,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here