Nurul Huda Abhar
AKSI adiwira cilik berusia enam tahun yang mengenakan kopiah ketika sedang mengaji menghiburkan hati warganet.
Tular di laman sosial beberapa keping gambar Aiman Khayr sedang mengaji sambil mengenakan kostum ‘spiderman’, watak adiwira dalam siri ‘Marvel’ bersama ustaznya, Arif Termidi Al-Hafiz.
Menerusi hantaran di laman Facebook bapanya, Herman Sudil, 42, berkata hari kebiasaan anaknya itu akan memakai kopiah dan baju melayu semasa mengaji.
“Aiman selalu kalau mengaji akan kena pakai kopiah dan baju Melayu seperti kita kecil-kecil pergi ngaji.
“Tetapi hari ini dia sakit kaki dan MC (cuti sakit) dari pergi sekolah,” katanya yang juga usahawan.
Menurut Herman, oleh kerana tidak hadir ke sekolah harian maka anaknya beranggapan kelas mengaji juga tiada.
Tambahnya, tiada masalah Aiman membuat permintaan untuk memakai kostum tersebut semasa mengaji kerana yang penting kemahuan untuk mengikuti kelas tersebut.
“So (jadi) tadi dia ingat takde ngaji tetapi kami suruh dia ngaji juga sebab sejam saja belajar dan rugi kalau miss (lepas) satu hari.
“Dia nak pakai baju spiderman dan mask untuk ngaji. Saya kata ok aje, as long (selagi) jangan ponteng ngaji walaupun MC sekolah.
“Ustaz Ariff Termidi Al-Hafiz amat supporting dan memahami jiwa kanak-kanak serta amat penyabar. Aiman suka belajar ngaji dan cepat faham bila seronok mengaji,” tulisnya.
Difahamkan, Aiman adalah peminat tegar pelbagai watak adiwira dan memiliki beberapa kostum lagi termasuk Iron Man, Captain America dan Black Panther.
Hantaran gambar tersebut dikongsi lebih 6,000 dan menerima hampir 3,000 tanda suka.
Warganet turut terhibur dengan gelagat kanak-kanak itu membawa watak ‘spiderman sedang mengaji’.
“Alhamdulillah, spiderman telah kembali ke pangkal jalan. Kita tunggu superheroes yg lain pulok,” tulis Halijah Ismail.
“Aduh la anak. Layan kan aje asal mau ngaji. Spiderman Road to Jannah tu namanya. Amin untuk anak yang soleh,” komen Halfpine Wan.
“Spiderman dah nak belajar mengaji..bagus tu,” kata Lea Zaleha Hassan. – Malaysiapost

