Ketua parti dijangka dahului senarai calon BN, PN

0
1

TUJUH ketua parti yang bernaung di bawah Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dijangka mendahului senarai calon bagi mewakili gabungan berkenaan yang dijadual diumumkan serentak, esok.

Bagi Umno Sabah, Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin pasti bertanding di kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Kinabatangan seperti diumumkan beliau sebelum ini.

Bung Moktar Radin

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Dr Jeffrey Kitingan, sudah mengesahkan akan mempertahan DUN Tambunan yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah pula, walaupun tiada sebarang pengumuman sebelum ini, Ketua Badan Pimpinannya, Datuk Hajiji Noor dijangka terus mempertahankan kerusi DUN Sulaman, Tuaran.

Turut menunjukkan hasrat bertanding ialah Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup yang diberi kepercayaan menerajui parti itu oleh Presidennya, Tan Sri Joseph Kurup yang juga bapanya sejak PRU-14.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ada menyatakan hasrat bertanding di kerusi baharu DUN Tulid, Pensiangan.

Bagi komponen PN yang baru menyertai gabungan itu, Parti Maju Sabah (SAPP), Presidennya, Datuk Yong Teck Lee sebelum ini dikhabarkan bertanding di DUN Api-Api.

Bagaimanapun, bekas Ketua Menteri Sabah itu mungkin kembali ke kerusi tradisinya di Likas memandangkan Api-Api sebelum ini adalah kerusi tradisi Parti Bersatu Sabah (PBS) yang turut bekerjasama dengan PN.

Di pihak MCA Sabah, Pengerusi, Lu Yen Tung, kemungkinan besar bertanding di kerusi tradisi parti itu, sama ada Luyang atau Kapayan jika beliau menjadi calon.

Hanya PBS belum ada perkembangan sama ada presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, akan bertanding atau tidak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu dikatakan masih berehat kerana masalah kesihatan dan beliau menyerahkan tugas mengetuai jentera PBS untuk PRN kepada timbalannya, Datuk Radin Malleh.

Jika Maximus menjadi calon, beliau kemungkinan besar memilih DUN Tandek di Kota Marudu atau kerusi baharu DUN Bandau, juga di Kota Marudu, jika PBS diberi kerusi berkenaan.

Difahamkan, PAS juga dijangka diberi peluang pada PRN kali ini, namun sukar ditentukan kerusi yang diperoleh parti itu memandangkan ia kurang menonjol di Sabah sebelum ini.

Selain ketua parti, beberapa pemimpin lain turut dijangka disenaraikan esok, antaranya Ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga Ketua Umno Tuaran, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang dijangka dicalonkan di kerusi baharu DUN Pantai Dalit, Tuaran.

Abdul Rahman Dahlan. – Foto Bernama

Selain beliau, Timbalan Pengerusi Umno Sabah, Datuk Yakub Khan turut dijangka bertanding, kemungkinan besar di kerusi baharu DUN Darau, Sepanggar.

Turut disebut ialah seorang lagi bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang dijangka kembali ke kerusi tradisinya di Usukan, Kota Belud, jika beliau dicalonkan.

Mengenai kedudukan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman setakat ini belum ada pengesahan sama ada akan mempertahan kerusi DUN Sungai Sibuga.

Beliau sebelum ini kelihatan lebih sibuk dengan kes permohonan semakan kehakiman berhubung pembubaran DUN Sabah pada akhir Julai lalu, namun ia berakhir semalam apabila rayuan terhadap kes itu ditolak Mahkamah Persekutuan.

Bagi Bersatu Sabah pula, Timbalan Ketua Badan Pimpinannya, Datuk Masidi Manjun dijangka dicalonkan lagi mempertahankan kerusi DUN Karanaan di Ranau.

Masidi Manjun

Seorang lagi pemimpin Bersatu yang dijangka disenaraikan ialah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan bagi kerusi DUN Apas di Tawau, selain Datuk Isnin Aliasnih di Klias, Beaufort.

Ahli baharu Bersatu, Datuk Limus Jury dijangka dicalonkan untuk mempertahankan kerusi DUN Kuala Penyu yang disandangnya menerusi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) sebelum meninggalkan parti itu pada Jun lalu.

Ada kemungkinan juga Bersatu mencalonkan wakil golongan muda yang juga Naib Ketua Angkatan Anak Muda (Armada) Bersatu, Mandela Malakun di DUN Moyog.

Mandela Malakun

PBS pula dijangka masih menampilkan pemimpin lama parti itu, antaranya Radin di DUN Melalap, Datuk Joniston Bangkuai (Kiulu), Datuk Jahid Jahim (Tamparuli) dan Datuk Dr Yee Moh Chai (Api-Api).

Naib Presiden PBS, Datuk Johnny Mositun turut dijangka dicalonkan jika PBS diberi kerusi baharu DUN Limbahau di Papar yang mana beliau adalah Ketua Penaja Bahagian PBS di sana.

Bagi Star, selain Jeffrey, penyandang kerusi DUN Bingkor, Robert Tawik dijangka sekali lagi dicalonkan untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Jika benar Star turut diberi kerusi DUN Paginatan di Ranau, maka penyandang kerusi itu, Datuk Abidin Madingkir yang baru menyertai Star bulan lalu selepas meninggalkan Upko, adalah calonnya seperti diumumkan Jeffrey sebelum ini.

Berdasarkan kenyataan beberapa parti sebelum ini, ramai calon yang akan dikemukakan adalah muka baharu yang belum pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya sebelum ini.

Bagaimanapun, spekulasi calon bertanding di kerusi mana dan berapa kerusi diperolehi setiap parti bakal terjawab pada pengumuman calon BN dan PN yang dijadualkan di Grand Ballroom, Magellan Sutera, Kota Kinabalu jam 10 pagi esok. – Malaysiapost