SEBANYAK 211 kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan keseluruhan 14,553 kes kematian setakat ini sejak wabak berkenaan melanda negara.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah kematian itu, 187 kes membabitkan warganegara dan 24 bukan warganegara.
Menurutnya, sebanyak 40 kes kematian luar hospital (BID) dilaporkan hari ini melibatkan 26 warganegara dan 14 bukan warganegara.
“Kes kematian hari ini melibatkan 41 di Johor, 36 di Selangor, 32 di Kedah, 23 di Pulau Pinang, 17 di Sabah, 16 di Perak, 12 di Negeri Sembilan dan 10 kes di Kuala Lumpur.
“Selebihnya adalah sembilan di Pahang, lima di Terengganu, masing-masing tiga di Kelantan dan Melaka, serta masing-masing dua di Sarawak dan Perlis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, kes sembuh yang dilaporkan hari ini adalah 18,613 menjadikan keseluruhan 1,316,336 kes sembuh setakat ini.
“Daripada 20,837 kes baharu yang dilaporkan 22 kes adalah kes import yang membabitkan 12 warganegara dan 10 bukan warganegara.
“Kes tempatan adalah 20,815 kes iaitu 17,440 warganegara dan 3,375 bukan warganegara, manakala daripada jumlah keseluruhan 1,593,602 kes yang direkodkan 262,713 kes dilaporkan masih aktif,” katanya.
Beliau berkata, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak 1,063 kes dengan 511 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
“Jumlah kluster yang direkodkan setakat ini adalah 4,506 kluster dengan 34 kluster baharu dilaporkan hari ini, manakala 3,060 kluster sudah tamat, namun 1,446 kluster masih aktif,” katanya. – Malaysiapost

