PEJUANG Wilayah Persekutuan bersetuju dengan pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri agar semua pihak harus bersatu sebagai keluarga Malaysia untuk membina semula Malaysia baharu.
Ketuanya, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, berkata ucapan Ismail Sabri hari ini telah mempamerkan sikap berjiwa besarnya dan inklusif bagi menawarkan ruang kepada pihak pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 (JKMC).
“Ini satu petanda yang amat baik kepada keseluruhan rakyat Malaysia sekiranya kerajaan baru benar-benar ikhlas untuk melibatkan kepimpinan pembangkang ke arah sama-sama berganding bahu sebagai keluarga Malaysia bagi menyelesaikan isu pandemik Covid-19, membangunkan semula ekonomi negara, menstabilkan lanskap politik, penstrukturan semula sistem pendidikan serta menyelesaikan segala permasalahan rakyat jelata masa kini.
“Jadi, kita berdoa agar Perdana Menteri Malaysia yang baharu dapat mempertimbangkan untuk melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengikut ‘blue print’ yang sedang disusun atur demi kebaikan kepada bangsa mahupun negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Dr Mahathir mempunyai formula tersendiri bagi membantu negara untuk menyelesaikan isu pandemik Covid-19 yang berada di tahap yang amat mengerikan kini.
“MPN harus diterajui oleh tokoh negarawan ini yang tidak mempunyai sebarang agenda kepentingan peribadi tetapi Tun Dr Mahathir Mohamad secara jujur serta ikhlas ingin membebaskan negara kita dari pandemik Covid-19 dan segala permasalahan negara.
“Beliau mempunyai pengalaman yang amat luas untuk menangani krisis bertaraf dunia. Semua pihak harus yakin dengan kemampuan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menangani isu pandemik Covid-19 serta semua permasalahan negara melalui MPN.
“Malahan, apa yang lebih mengejutkan kami ialah Tun Dr Mahathir Mohamad sanggup letak jawatan sebagai Pengerusi Pejuang selagi beliau memimpin MPN,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, sebagai keluarga Malaysia harus sama-sama merapatkan saf perjuangan untuk memikul tanggungjawab secara terbaik dan amanah bagi menyelesaikan semua polemik permasalahan negara.
“Sebagai rakyat Malaysia di mana negara ini adalah tempat tumpah darah kita; sudah pasti akan pikul tanggungjawab secara bersama merentasi parti-parti politik ke arah membina semula Malaysia Baharu,” katanya. – Malaysiapost

