Armada tolak perbuatan ‘keanak-anakan’ terhadap Veveonah

0
3

Fitri Nizam

PEMUDA Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menolak perbuatan ‘keanak-anakan’ yang dilakukan terhadap pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata masalah utama yang harus ditangani dalam isu pelajar terbabit bukanlah berkenaan ada peperiksaan atau tidak.

“Tetapi keperluan kerajaan meningkatkan prestasi jaringan jalur lebar di Sabah.

“PM (Perdana Menteri) juga sudah nyatakan keseriusan kerajaan dalam hal ini dengan pelancaran inisiatif JENDELA (Jalinan Digital Negara) ketika lawatan beliau di Sabah tempoh hari,” katanya ringkas di laman sosial Twitter hari ini.

Dalam ciapan itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu turut mengepilkan kenyataan media Naib Ketua Armada, Ceasar Mandela Malakun.

Ceaser antara lain menyatakan rasa kesal Armada terhadap tuduhan yang dilemparkan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin terhadap Veveonah.

Mengambil iktibar daripada kepayahan ditanggung penuntut itu, Ceaser berkata Armada menggesa kerajaan untuk meningkatkan mutu jaringan komunikasi internet khususnya di kawasan luar bandar selaras dengan kehendak revolusi industri 4.0.

“Di kesempatan ini, Armada juga ingin menjemput Veveonah ke Ibu Peiabat Bersatu dan berminat untuk berbincang mengenai bagaimana Armada dapat membantu anak muda dan mahasiswa sepertinya dalam misi negara menghasilkan lebih ramai anak muda yang hebat di masa hadapan.

“Kecekalan adik Veveonah Mosibin wajar diberi penghargaan dan dicontohi oleh semua mahasiswa di Malaysia,” katanya.