Umno bantah caj pembelian dalam talian

0
2
KUALA LUMPUR, 27 Feb -- Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa bercakap ketika sidang media selepas pertemuan khas di ibu pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
--fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Fitri Nizam

UMNO membantah cadangan mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 0.02 peratus terhadap pembelian dalam talian.

Pemimpin Umno yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, berkata tidak kira berapa kadarnya caj yang dikenakan, kerajaan tidak pernah membuat keputusan demikian.

“Jika ia dibawakan ke Kabinet, saya pasti bantah!,” katanya menerusi ciapan di laman sosial Twitter hari ini.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula berkata, sayap parti itu membantah cadangan berkenaan.

“Cadangan caj bagi urusniaga dalam talian adalah amat tidak wajar di kala rakyat dihimpit kepayahan hidup akibat dampak Covid-19 yang masih belum berakhir.

“Sepatutnya kerajaan fokus menggalakkan urusniaga dalam talian dengan beri insentif bukan kenakan caj. Pemuda Umno bantah!,” ciapnya juga di laman sosial Twitter.

Kenyataan itu dikeluarkan dipercayai ditujukan kepada Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Zahidi dilaporkan berkata kerajaan bercadang untuk mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 0.02 peratus kepada pembelian yang dibuat secara dalam talian.

Ia termasuk transaksi melalui portal e-dagang seperti Lazada dan Shopee.