Kerajaan wujudkan jawatankuasa dasar sekuriti makanan negara

0
3

Fitri Nizam

SEBUAH Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (JKKDSMN) ditubuhkan susulan wabak Covid-19 yang melanda negara.

Menurut kenyataan media Jabatan Perdana Mengeri, JKKDSMN bertanggungjawab meneliti isu berkaitan sekuriti makanan secara menyeluruh.

Jawatankuasa itu buat pertama kalinya bermesyuarat dengan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

JKKDSMN diberikan tanggungjawab menyeluruh meliputi aspek rantaian bekalan, tenaga kerja, aplikasi teknologi, sumber kewangan, pelaburan, guna tanah dan infrastruktur.

“Sebanyak lima kertas kerja merangkumi strategi memperkukuh sektor agro makanan negara berlandaskan peningkatan pengeluaran domestik, perluasan teknologi moden dan pengurangan kebergantungan kepada import, telah dibincangkan.

“Turut dibentangkan strategi untuk meningkatkan kualiti dan jaminan keselamatan makanan bagi mengoptimumkan sumber sedia ada,” katanya.

Menurutnya lagi, jawatankuasa itu turut bersetuju memperakukan cadangan Kerangka Sekuriti Makanan Negara yang disarankan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (FAO) untuk mewujudkan empat kluster di bawah tiga kementerian dan satu agensi.

“Kluster Ketersediaan di bawah Sekretariat Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan; Kluster Kebolehcapaian di bawah Sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

“Selain itu, kluster Keselamatan Makanan dan Pemakanan di bawah Sekretariat Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan (MKMPK), Kementerian Kesihatan Malaysia dan kluster Kestabilan dan Kemampanan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Keempat-empat kluster itu akan berfungsi untuk mengetengahkan isu dan cadangan penyelesaian berhubung rantaian sistem makanan dan pelaksanaan strategi yang telah dikenal pasti.