PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri menjunjung kasih dan menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong di atas perkenan pelantikannya sebagai Perdana Menteri ke-9 hari ini.
Beliau juga menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Ahli-ahli Parlimen termasuk ketua parti politik pelbagai parti yang menyokong pelantikan tersebut.
Ahli Parlimen Bera itu menzahirkan ucapan termima kasih berkenaan ketika ditemui media sejurus selepas mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara, hari ini.
“Saya bersyukur kepada Allah atas izin-Nya di atas pelantikan ini. Saya junjung kasih, rakam terima kasih kepada YDP Agong atas perkenaan perlantikan ini.
“Saya ucap terima kasih kepada ahli-ahli Parlimen, ketua-ketua parti politik atas sokongan diberikan,” katanya.
Ketika diminta untuk memberi ucapan kepada rakyat, beliau berkata akan membuat kenyataan rasmi untuk rakyat esok.
“Saya akan buat kenyataan rasmi untuk rakyat esok,” katanya.
Terdahulu, Ismail Sabri mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-9 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara kira-kira jam 2.30 petang tadi. – Malaysiapost

