PERPINDAHAN Mohamadou Sumareh ke kelab Thai League 1, Police Tero FC diharap meningkatkan kualiti serangan pasukan, kata pengurus pasukan itu, Thanya Wongnak.
Beliau berkata, pasukan itu setakat ini kekurangan pemain import dan kehadiran bekas pemain Pahang itu diharap dapat membantu pasukan.
“Kami masih kekurangan pemain import bagi menghadapi baki musim ini.
“Kami percaya kemasukan Sumareh dapat meningkatkan kualiti di bahagian serangan. Beliau sepatutnya dapat menyesuaikan diri dengan perancangan jurulatih, Rangsan Viwatchaichok.
“Ketika ini Sumareh masih berada di Malaysia. Kami dapat menyelesaikan segala kertas kerja mengenai perpindahan ini pada saat akhir, lebih tepatnya sehari sebelum jendela perpindahan Thai League ditutup,” kata Thanya seperti dipetik Vocket FC.
Sumareh menjadi pemain ketiga dari Malaysia beraksi dalam saingan Thai League 1 musim ini.
Sebelum ini, dua pemain negara yang terlebih dahulu mengikat kontrak bersama kelab di negara itu iaitu Norshahrul Idlan Talaha (BG Pathum United) dan Dominic Tan yang akan menjadi rakan sepasukan Mohamadou Sumareh. – Malaysiapost.

