“Jasamu dikenang Tan Sri! Tahniah, Ismail Sabri”

0
2
Muhyiddin Ismail Sabri

Datuk Dr Radzi Jidin

SEMALAM, Datuk Dr Marzuki Mohamad, bekas Ketua Setiausaha Sulit mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkongsi satu catatan ringkas yang penuh bermakna.

Menurut Dr Marzuki, pada pagi 15 Ogos 2021 iaitu sehari sebelum pengumuman perletakan jawatan, Tan Sri menyatakan bahawa beliau banyak menerima mesej meminta supaya tidak meletakkan jawatan.

Tan Sri berkata, “Saya telah hilang majoriti. Saya tidak boleh terus kekal sebagai Perdana Menteri”. Dr Marzuki menyatakan kepada Tan Sri bahawa keputusan Tan Sri adalah tepat kerana ianya berlandaskan perlembagaan.

Itulah Tan Sri Muhyiddin yang saya kenali sejak dulu. Seorang yang sentiasa konsisten mempertahankan keluhuran perlembagaan! Tiada satu pun tindak tanduk beliau yang melanggar perlembagaan. Peguam Negara sentiasa menjadi rujukan beliau.

Masih terngiang di telinga saya kata-kata beliau, “Sekiranya benar saya telah hilang majoriti, saya tidak akan duduk kekal sebagai Perdana Menteri walaupun sesaat lebih lama”.

Tindakan Tan Sri Muhyiddin akan terpahat rapi dalam sejarah negara dan menjadi rujukan generasi akan datang.

Sekiranya berlaku lagi keadaan yang hampir sama, tentulah generasi pada waktu itu akan merujuk kepada tindakan terhormat Tan Sri Muhyiddin ini.

Dr Marzuki dalam catatannya juga menulis tentang keprihatinan Tan Sri terhadap kelangsungan pentadbiran negara.

Tan Sri bertanya, “Siapakah yang akan menggantikan saya sebagai Perdana Menteri?” dan menjelaskan bahawa PN mesti mempunyai seorang calon Perdana Menteri.

Beliau juga menyebut bahawa “Saya tiada masalah sekiranya Ismail Sabri dinamakan sebagai calon Perdana Menteri”.

Tan Sri menjelaskan bahawa sekiranya beliau tidak menyokong seorang calon Perdana Menteri, maka tidak ada yang akan mendapat majoriti.

Jika ini berlaku, negara akan berada dalam kekalutan politik selama berminggu-minggu, dan boleh berlarutan sehingga berbulan-bulan.

Bermula daripada situ, usaha untuk memastikan Datuk Seri Ismail Sabri mendapat sokongan padu Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional dibuat.

Tan Sri Muhyiddin juga telah berunding dengan pimpinan parti GPS dan PBS yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini untuk mengambil ketetapan yang sama.

Inilah Muhyiddin Yassin yang aku kenali. Jika ada dendam kesumat, maka tentunya Tan Sri Muhyiddin tidak akan bersusah payah menaikkan calon Perdana Menteri daripada parti yang mana tindakan beberapa Ahli Parlimen mereka menarik sokongan sehingga membawa kepada kejatuhan beliau.

Namun, Muhyiddin ini manusia yang bersih jiwanya. Beliau pernah menyebut, “Segala kuasa hanya sementara. Ini duniawi dan tidak abadi. Kepada Allah jua kita kembali”.

Muhyiddin seorang yang berjiwa besar dan sentiasa meletakkan kepentingan negara melebihi segalanya.

Sir, jasa, budi serta peribadi mu akan dipahat dan diabadi dalam sejarah Malaysia.

Hari ini, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah berkenan melantik Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9. Tahniah Dato’ Sri! – Malaysiapost

Penulis adalah Naib Presiden Bersatu dan bekas Menteri Kanan Pendidikan

(Artikel ini disiarkan tanpa suntingan dan ia tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiapost)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here