Covid-19: Kes positif meningkat kepada 100 hari ini

0
3

Fitri Nizam

KES positif Covid-19 di negara ini mencatat peningkatan tiga digit, iaitu tertinggi sejak tiga bulan lalu apabila merekodkan 100 kes baharu hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata 62 kes adalah daripada kluster Benteng Lahad Datu (LD).

Selain itu, kluster Sungai mencatatkan peningkatan apabila sebanyak 23 kes positif Covid-19 dicatatkan hari ini.

“Setakat hari ini, seramai 431 individu sudah disaring di Lahad Datu, di mana 87 daripadanya dikesan positif Covid-19 (37 kes baharu) manakala 132 individu negatif dan 212 lagi masih menunggu keputusan.

“Di Tawau pula, seramai 1,579 individu sudah disaring sebelum mendapati 41 positif (25 kes baharu manakala 425 individu negatif dan 1,113 lagi masih menunggu keputusan,” katanya pada sidang media perkembangan kes Covid-19, hari ini.

Daripada 62 kes terbaharu daripada kluster Benteng LD, seramai 32 kes adalah wargan Malaysia manakala 30 lagi bukan warganegara.

Sementara itu, bagi kluster Sungai, Dr Noor Hisham berkata, seramai 470 individu disaring di Kedah sebelum mendapati 25 daripadanya positif wabak berkenaan dengan 22 kes baharu hari ini.

“Dalam kluster sama, terdapat satu kes dilaporkan dikesan di Perlis hari ini,” katanya.

Selain itu, terdapat 15 kes positif Covid-19 yang mendapat penularan di luar negara membabitkan dua warganegara Malaysia yang pulang ke tanah air dan 13 lagi bukan warganegara.

Pertambahan kes itu ia menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini sebanyak 9,559 kes dengan jumlah kes aktif iaitu 295 kes. – Malaysiapost