SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita baginda terhadap impak yang terpaksa ditanggung rakyat Selangor berhubung masalah bekalan air bersih di negeri itu yang terus berulang.
Ia dizahirkan baginda menerusi surat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Berikut antara intipati surat Baginda kepada YAB Menteri Besar Selangor :
• Baginda mahu tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas hendaklah diambil bagi memastikan rumah-rumah, kilang-kilang, terutama sekali kilang-kilang haram berhampiran tebing sungai mesti dirobohkan kerana berpotensi mencemarkan anak-anak sungai dan sungai-sungai di Negeri Selangor.
• Baginda tidak berkenan adanya unsur campur tangan politik dalam penguatkuasaan isu-isu berkaitan alam sekitar dan pencemaran air sungai.
• Baginda telah lama menitahkan supaya sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk memantau dan memastikan air sungai tidak dicemari dengan bahan kimia atau sampah sarap boleh menjejaskan bekalan air mentah kepada loji-loji rawatan air.
• Baginda mahu undang-undang yang lebih tegas dilaksanakan dengan segera kepada pelaku-pelaku yang menyebabkan pencemaran sungai. Penalti yang lebih berat wajar dikenakan kepada mereka yang mencemarkan alam sekitar khususnya sumber air. Mereka yang terbukti melakukan kesalahan hendaklah dijatuhkan hukuman penjara mandatori serta dikenakan denda yang maksimum.
• Baginda khuatir sekiranya masalah air ini berterusan, rakyat jelata akan memberontak dan boleh mengakibatkan ketegangan dan seterusnya akan menjejaskan keharmonian sosial.

