Syarikat jadi punca pencemaran air disaman

0
3

Fitri Nizam

SYARIKAT yang disyaki menjadi punca pencemaran di Sungai Gong di Rawang hingga menyebabkan gangguan bekalan air di Lembah Klang, disaman.

Saman itu difailkan 17 plaintif diketuai Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali manakala selebihnya adalah penduduk yang terjejas akibat tindakan tidak bertanggungjawab syarikat terbabit.

Peguam Tetuan Azam Aziz & Co, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang dilantik, berkata saman itu difailkan secara e-filing dan telah berada dalam rekod Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Katanya, Syarikat Yip Chee Seng Sdn Bhd dinamakan sebagai defendan kerana menyebabkan pencemaran air di sungai terbabit.

“Plaintif yang memfailkan saman ini atas kapasiti individu, isi rumah, ada sebahagian peniaga, suri rumah, ketua keluarga, penghuni rumah teres dan pangsapuri yang menanggung kesusahan,” katanya.

Beliau berkata, semua fakta berkaitan peristiwa itu turut disertakan dalam saman ini.

“Kita juga mengambil kira semua kenyataan di media yang dikeluarkan oleh Ketua Komuikasi Korporat Syarikat Air Selangor berkenaan dengan penutupan operasi loji rawatan air (LRA) berikutan pencemaran air di Sungai Gong, Selangor.

“Selain itu, kita memasukan kenyataan media Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari,” katanya.

Azam berkata, dalam writ itu juga, pihaknya memasukkan fakta empat pengarah syarikat itu telah direman minggu lalu untuk disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

“Berdasarkan fakta itu, kita akan memanggil pihak pengurusan Air Selangor, PBT dan kerajaan negeri sebagai saksi plaintif nanti untuk mengesahkan pemilik kilang inilah yang terbabit bertanggungjawab mencemarkan Sungai Gong.

“Kita tidak menamakan mereka sebagai defendan, tetapi ia tidak bermaksud kerajaan negeri dan agensi terbabit terlepas daripada tanggungjawab dalam isu keputusan air ini,” katanya lagi.

Justeru, beliau berkata, semua 17 plaintif ini menuntut daripada pihak defendan pertama ganti rugi am, ganti rugi spesifik, ganti rugi tauladan, kos dan lain-lain perkara yang dianggap wajar serta adil oleh mahkamah. – Malaysiapost