1MDB: Hakim berang Najib tak hadir bicara

0
2

HAKIM Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendengar kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Datuk Seri Najib Razak, berang apabila bekas Perdana Menteri itu tidak hadir prosiding perbicaraan pagi ini.

Sebaik perbicaraan kes itu bermula jam 9.30 pagi, peguam Rahmat Hazlan yang mewakili Najib memaklumkan anak guamnya dipanggil ke Istana Negara bagi mengesahkan sokongannya kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

Berita Harian melaporkan, Rahmat berkata, Najib bersama dan Ahli Parlimen dipanggil untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Bagaimanapun, tidak diketahui masa spesifik untuk Najib akan dipanggil menghadap Yang Di-Pertuan Agong. Najib dijangka beredar dari Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menuju istana jam 10.30 pagi,” katanya.

Mendengar perkara itu, Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata, Najib seharusnya hadir ke mahkamah terlebih dahulu.

“Yang di-Pertuan Agong memanggil semua Ahli Parlimen untuk menghadap dan beliau sememangnya perlu berada di sana. Namun, laporan media menyatakan, ia akan dilakukan secara berperingkat.

“Anak guam anda perlu memaklumkan kepada mahkamah jam berapa beliau perlu berada di istana kerana kes ini akan diteruskan,” katanya sebelum menangguhkan perbicaraan selama 10 minit.

Sebaik mahkamah mula bersidang, Rahmat memaklumkan pihaknya tidak dapat memaklumkan waktu spesifik untuk Najib bertemu Yang di-Pertuan Agong.

Sequerah berkata, perbicaraan itu akan diteruskan dan meminta peguam memaklumkan mengenai pertemuan Najib dengan Agong.

“Kita semua mempunyai tugas yang perlu dijalankan. Sekiranya dipanggil menghadap Agong, beliau harus menghadirkan diri, namun beliau tidak perlu berada di sana seharian.

“Beliau boleh memberikan pandangan kepada Yang di-Pertuan Agong dan kembali semula ke sini,” katanya.

Mahkamah kemudian memaklumkan perbicaraan kes akan disambung pada jam 2.30 petang.

Najib, 68, berhadapan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here