SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berharap Perdana Menteri keembilan dan Jemaah Menteri yang baharu akan memberi penekanan terhadap pembaharuan institusi dan amalan tadbir urus yang baik.
Suhakam berkata, meskipun jelas Perdana Menteri dan Kabinet baharunya perlu memberi tumpuan kepada usaha menangani pandemik dan kesan terhadap ekonomi dan kesejahteraan rakyat, amat baik jika ia meletakkan hak asasi manusia sebagai teras utama dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
“Kerajaan seperti ini akan melaksanakan strategi tersusun untuk seboleh mungkin mempromosi, melindungi dan menyokong pendekatan hak asasi manusia.
“Sebagai institusi hak asasi manusia kebangsaan, Suhakam komited untuk terus bekerjasama dengan kementerian dan Ahli Parlimen dengan mengemukakan syor-syor, selari mandat diberikan di bawah peruntukan undang-undangnya untuk menasihati kerajaan berkenaan isu-isu hak asasi manusia,” katanya menerusi kenyataan.
Suruhanjaya itu juga menegaskan, hak asasi manusia tidak seharusnya menjadi agenda sampingan.
Malah, katanya, kerajaan yang bakal memerintah perlu menunjukkan komitmen untuk menghormati maruah manusia dan kebebasan asasi sepertimana dinyatakan di bawah Perkara 5-13 Perlembagaan Persekutuan.
“Ia berfungsi sebagai pemacu ke arah mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Lestari Malaysia dan seterusnya memulihkan harapan rakyat Malaysia serta menyuburkan amalan demokrasi,” katanya kenyataan itu lagi. – Malaysiapost

