PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) hanya akan memberi sokongan kepada gabungan sama ada Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) selepas mengetahui pendirian gabungan berkenaan.
Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, buat masa ini Pejuang adalah ‘third force’ atau kuasa ketiga dan tidak memihak kepada mana-mana gabungan.
Menurutnya, ketetapan itu dibuat selepas mendapati kedua-dua gabungan parti yang ada sekarang ini tidak menarik.
“Kita dapati kedua-dua gabungan PN dan PH adalah tidak menarik sebab itu kita asingkan diri kita, kita adalah third force.
“Kita boleh pilih yang mana satu kita akan memihak, tetapi kita ingin tahu apa pendirian mereka.
“Pejuang tidak bergabung dengan parti lain pada waktu ini,” katanya dalam program Ruang Bicara yang disiarkan secara langsung di Bernama TV, malam ini.
Sementara itu, ditanya sama ada beliau akan bersetuju sekiranya kelak dijemput menyertai Kabinet kerajaan PN yang disertai kleptokrat, Dr Mahathir hanya menjawab akan memikirkannya.
Ditanya pula jika diajak menyertai Kabinet PH, beliau mengatakan sebenarnya tidak berminat untuk menjadi anggota Kabinet.
“Saya tidak berminat dengan Kabinet, saya cuma hendak dapat kuasa untuk tangani masalah Covid-19.
“Saya tak nak jadi Perdana Menteri kali ketiga, cuma nak jadi Ketua Mageran atau Majlis Pemulihan Negara, tetapi apa yang kita putuskan kerajaan mesti terima dan beri kuasa kepada kita. Setakat itu sahaja,” katanya. – Malaysiapost

