Tun M dikuarantin di rumah

0
1

TANDA tanya berhubung ‘kehilangan’ Tun Dr Mahathir Mohamad sejak kemuncak kemelut politik negara berlaku beberapa hari lalu terjawab, apabila Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu muncul dalam sebuah program yang disiarkan secara langsung malam ini.

Dr Mahathir yang sebelum ini antara yang kuat mengkritik kepimpinan Perikatan Nasional (PN) dilihat senyap tanpa sebarang kenyataan berhubung kejatuhan kerajaan dengan peletakan jawatan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Isnin lalu.

Beliau memaklumkan dikuarantin di rumah kerana Covid-19 dan kebanyakan urusan mengenai Pejuang diuruskan Presiden Penajanya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Oleh kerana sebab tertentu Mukhriz memainkan peranan yang lebih kerana dia boleh bergerak, saya tidak boleh tinggalkan rumah kerana kena pakai gelang ‘pink’ ini.

“Ini bermakna tak boleh keluar rumah, jadi dialah (Mukhriz) yang bercakap banyak, tetapi saya bersetuju dengan apa yang dilakukannya kerana ia adalah hasil rundingan antara kita,” katanya dalam program Ruang Bicara di Bernama TV, malam ini.

Ditanya mengenai pendiriannya berhubung situasi politik negara ketika ini, bekas Perdana Menteri itu berharap negara dapat mendirikan kerajaan yang kuat.

“Kerajaan yang lemah selalunya diancam dan itu tidak baik untuk negara.

“Selama kira-kira 60 tahun kita mempunyai kerajaan yang berwibawa yang boleh bertindak kerana disokong 2/3 Ahli Dewan. Kita jadi negara yang stabil dan aman.

“Tetapi sekarang ini kita dapati apabila berlakunya kerajaan ‘pintu belakang’ ia tidak sekuat kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan selalu terancam bukan sahaja daripada musuh, tetapi rakan juga mengancam mereka,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu menjadikan kerajaan tidak stabil dan selain perlu menghadapi ancaman yang sangat luar biasa iaitu Covid-19 yang memerlukan kerajaan yang kuat tanpa sebarang ancaman politik. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here