SUSULAN kontroversi membabitkan Veveonah Mosibin dan dua timbalan menteri, warganet hari ini mencadangkan pelajar dari Pitas itu bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Cadangan itu dilontarkan pemilik akaun Twitter menggunakan nama Ben, menerusi satu ciapan di laman sosial itu hari ini.
“Veve patut bertanding Parlimen Kudat masa PRU15 atas tiket BEBAS dan logo POKOK 🌳 – kita boleh crowdfund (dengan izin) kempen untuk beliau,” tulisnya.
Ciapan itu mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna Twitter, sebahagian besar menyokong saranan itu.
Difahamkan, lambang pokok dicadangkan sebagai simbolik remaja itu memanjat pokok bagi mendapatkan capaian internet untuk menjawab peperiksaan.
Menyokong ciapan Ben, DaDdyAfqAR meminta Pakatan Harapan (PH) memberi laluan kepada pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu.
“Minta ph bagi laluan..1 lawan 1…,” katanya.
“Sokong tanpa belah bagi,” kata Sitinoriah Satam pula.
Veveonah sebelum ini menarik perhatian warganet susulan videonya memanjat pokok di kampungnya di Pitas untuk mendapatkan capaian internet, tular.
Minggu lalu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin menuduh Veveonah menipu kerana remaja itu didakwa berbuat demikian sebagai ‘content’ untuk YouTube, namun memohon maaf kepada pelajar berkenaan.
Zahidi semalam memaklumkan laporan pelajar itu tidak menduduki peperiksaan di atas pokok diperoleh daripada Ahli Parlimen Kudat sendiri iaitu Datuk Abdul Rahim Bakri.
Abdul Rahim yang juga Timbalan Menteri Kewangan pula mendakwa menerima maklumat itu daripada pensyarah Veveonah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta seorang pembantunya di Pitas yang menjalankan siasatan.
Beliau bagaimanapun memadam hantaran tersebut yang dimuat naik di Facebook. – Malaysiapost

