Gajah lapar cari makan di R&R

0
2

GEMPAR apabila seekor gajah masuk ke dalam kedai mencari makanan di kawasan rehat dan rawat (R&R) Banjaran Titiwangsa Jalan Raya Timur Barat dekat Gerik.

Kejadian pada kira-kira jam 7 malam kelmarin itu tular di media sosial.

Berdasarkan video berkenaan, gajah bergading itu cuba mengambil makanan di sebuah kedai di kawasan R&R tersebut namun tidak berjaya.

Kehadiran haiwan mamalia itu menimbulkan suasana panik dalam kalangan peniaga serta pelanggan, namun ia tidak bertindak ganas dengan mencederakan sesiapa mahupun merosakkan makanan dan kemudahan.

Sementara itu, memetik laporan Harian Metro, peniaga, Azizan Aziz, 50-an, berkata ketika kejadian dia sedang solat Maghrib sebelum terdengar bunyi bising dan jeritan orang ramai mengenai kehadiran gajah.

Katanya, gajah jantan cuba mengambil makanan yang diletakkan di atas barangan runcit tetapi gagal disebabkan dia memasang jaring.

Selepas beberapa minit, katanya, beberapa renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tiba namun gajah itu sudah beredar ke kawasan kem tentera, kira-kira 200 meter dari kedai.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata sepasukan anggota membuat pemantauan dan menghalau gajah terbabit ke hutan, namun tidak mustahil ia datang semula.

Beliau berharap orang ramai tidak membuat provokasi serta jangan menyangka gajah itu jinak. – Malaysiapost