Remaja OKU bakar rumah

0
1

SEORANG remaja orang kurang upaya (OKU) dipercayai membakar rumah keluarganya, di Kampung Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu, malam tadi.

Remaja berusia 14 tahun itu mendakwa melakukan perbuatan itu selepas terdengar ‘arahan’ arwah ibunya.

Malah, dia turut merakam video kebakaran yang memusnahkan 100 peratus rumah itu menggunakan telefon bimbitnya.

Nenek saudaranya, Juriah Salleh, 64, berkata remaja itu tinggal bersama nenek dan bapanya di rumah berkenaan, namun ketika kejadian hanya dia seorang berada di rumah.

Katanya, cucu saudaranya itu sempat merakam video kebakaran berkenaan sambil menangis.

“Dia mengakui menyalakan api menggunakan mancis, kertas dan lilin yang dibelinya ketika tinggal bersendirian, ” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Juriah berkata, cucu saudaranya itu hiperaktif sejak kecil, namun emosi terganggu selepas kematian ibunya, dua tahun lalu dan dia pernah membakar rumah ketika berusia 10 tahun, tetapi sempat dipadam.

Katanya, remaja terbabit juga dikatakan dalam rawatan pemulihan dan bergantung kepada ubat.

Sementara itu, Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Terengganu, Rozizah Ibni Hajar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.59 malam dan seramai 19 anggota bersama dua jentera serta satu jentera tangki dikejarkan ke tempat kejadian.

“Ketika bomba sampai, kebakaran seratus peratus dan dikenal pasti terdapat seorang mangsa, iaitu remaja berusia 14 tahun berada di rumah ketika kejadian.

“Bagaimanapun, dia keluar ke tempat selamat sebelum bomba tiba,” katanya. –Malaysiapost